Ahad, 24 Februari 2008

Penubuhan Syed-Syed semalaysia

Pada Disember 2002, Tuan Syed Mohd Shaiful Jamalullail ditemani Tuan Syed Padzil Barakbah telah mengadap Tuanku Pemangku Raja Perlis DYMM Tuanku Syed Faizuddin Ibni Syed Sirajuddin Jamalullail di Pejabat BUMITA Kangar bagi berbincang menubuhkan Persatuan Syed-Syed Se-Malaysia.Perbincangan yang hampir satu jam itu mendapat kata putus yang positif. Tuanku Pemangku Raja Perlis banyak memberi nasihat dan pandangan yang membina bagi menjayakan persatuan ini. Dengan penuh rasa kasih dan sayangnya Baginda kepada Alawiyyin, Tuanku sanggup menjadi Penaung serta Penasihat kepada persatuan yang bakal ditubuhkan ini.Bermula dari titik pertemuan dengan Tuanku, Tuan Syed Mohd Shaiful Jamalullail dengan dibantu Tuan Syed Padzil Barakbah telah mengaturkan perjumpaan dengan pemuda-pemuda Ba-Alawi disekitar Perlis untuk berbincang. Antara yang terlibat pada perbincangan awal adalah Tuan Syed Muzammil Jamalullail, Tuan Syed Aidil Jamalullail, Tuan Syed Murtadza Barakbah serta Tuan Syed Azri Al-Haddad. Perbincangan secara tidak resmi ini berlanjutan beberapa hari.Setelah seminggu perkara ini menjadi perbualan Alawiyyin di Perlis, sampailah masanya untuk bermesyuarat secara resmi dan sekaligus melantik jawatankuasa Penaja. Pada Tanggal 2hb Januari 2003, hari Khamis malam Jumaat, mesyuarat kali pertama diadakan dikediaman Tuan Syed Mohammad Syed Sheikh As-Saggaf dengan dihadiri seramai tujuh orang. Pada malam itu telah disepakati oleh jamaah mesyuarat melantik jawatankuasa seperti berikut, Prof. Madya Syed Omar Saggaf (Presiden), Tuan Syed Padzil Barakbah (Naib Presiden), Tuan Syed Mohd Shaiful Jamalullail (Setiausaha), Tuan Syed Azri Al-Haddad (Penolong S/U), Tuan Syed Yusof Al-Aidid (Bendahari), Tuan Syed Mohammad Al-Saggaf (AJK). Tuan Syed Abu Bakar dari Pulau Pinang menjadi pemerhati pada malam tersebut. Selepas perlantikan jawatankuasa itu, majlis mesyuarat telah bersetuju sebulat suara untuk menamakan persatuan yang bakal ditubuhkan dengan nama PERSATUAN KEBAJIKAN BA-ALAWI MALAYSIA.

Shaiful Jamalullail telah diamanahkan untuk merangka serta menyiapkan Perlembagaan (Undang-undang Tubuh) secepat mungkin untuk proses pendaftaran secara sah. Mesyuarat Khas Membentang Perlembagaan berlangsung dua kali bagi diluluskan oleh jawatankusa. Pada bulan Februari 2003, Shaiful Jamalullail telah menghantar borang serta Perlembagaan kepada pihak Pendaftar Pertubuhan Negeri Perlis.

Pada tanggal 8hb. Julai 2003, Pendaftar Pertubuhan Malaysia yang ibu pejabatnya di Kuala Lumpur telah meluluskan permohonan PERSATUAN KEBAJIKAN BA-ALAWI (PEKABA) diperingkat Kebangsaan. Pada tanggal ini juga PEKABA telah menjadi sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Dengan ujudnya Persatuan ini, maka para Ba-Alawi seluruh Malaysia dapatlah bersatu dibawah satu bumbung. Pihak PEKABA menyeru seluruh Ba-Alawi agar bersama PEKABA demi menghidupkan kembali amal kebajikan yang telah dilakukan oleh nenek moyang kita pada masa dulu.

Pada Muktamar yang lalu (Mei, 2005), beberapa undang-undang dalam perlembagaan PEKABA telah dipinda dan dirubah (sila lihat Perlembagaan). Antara pindaan yang terbesar adalah, Jawatan Kuasa PEKABA Pusat telah mengusulkan Pindaan Perlembagaan PEKABA, Fasal 1: Pindaan nama persatuan, iaitu dari PERSATUAN KEBAJIKAN BA-ALAWI MALAYSIA (PEKABA) kepada PERSATUAN KEBAJIKAN ASYRAAF MALAYSIA (ASYRAAF).

Pihak PEKABA Pusat memikirkan bahawa komentar ini adalah munasabah dan perlu kerana persatuan ini diwujudkan untuk semua keturunan Sayyid @ Syariff dan Syarifah (Alawiyyin) serta Muhibbin di Malaysia.

Kita sedia maklum bahawa terdapat juga Alawiyyin di Malaysia ini terdiri daripada bukan susur galur BA-ALAWI, umpamanya jika dari keturunan Sayedina Hussein r.a itu sendiri, iaitu qabilah Al-Musawwi, Al-Mahdali, Al-Bukhori, Az-Zawawi dan banyak lagi. Manakala dari keturunan Sayedina Hassan r.a pula yang terdiri dari qabilah Al-Qudsi, Al-Qadiri, Al-Hasyimi, Al-Dahlani dan beratus-ratus lagi qabilah dari beliau.

Walaupun pindaan ini dibuat, ianya tidak merubah dasar dan hala-tuju persatuan, malah ianya telah membuka skop yang lebih luas untuk keahliannya, iaitu kepada seluruh keturunan Hassan r.a dan Hussein r.a.

Tafsiran Ba-Alawi

Tafsiran BA-ALAWI adalah diambil dari singkatan perkataan Bani Alawi atau maksudnya Keturunan Alawi. Yang di panggil Ba-Alawi pula adalah mereka yang bernasab terus kepada Alawi Bin Ubaidillah Bin Ahmad Al-Muhajir Bin Isa An-Naqeh. Keturunan ini bersambung nasab kepada Sayedina Hussein r.a.

Tafsiran Asyraaf

Tafsiran ASYRAAF pula diambil dari kata jamak dalam bahasa arab yang bermaksud Keturunan Yang Mulia iaitu dari keturunan Sayedina Hassan r.a dan keturunan Sayedina Hussein r.a.

Sebagai contoh jika lelaki dari keturunan ini disebut Syariff dan jika perempuan dari keturunan ini pula disebut Syarifah, manakala jika umum bagi keturunan ini disebut dengan panggilan ASYRAAF.

Dengan ini kami pihak ASYRAAF Pusat berharap para Asyraaf dapat memahami dengan penerangan yang serba ringkas tentang tujuan pindaan ini yang telah dibuat. Semoga dengan pindaan ini dapat memperluaskan jaringan persaudaraan, kekeluargaan dan memperkukuhkan lagi hubungan sesama kita.

nak tahu lbih lanjut sila ke sini…. http://www.asyraaf.com/v2/sejarah.php atau boleh cari di

Dunia Maya

pada blogroll