Biografi Sayyid Muhammad bin Alawi bin Abbas Al-Maliki Al-Hassani
Oleh muridnya: Fakhruddin Owaisi Al-Madani
Terjemahan : Syed Abdul Kadir Aljoofre
Pendahuluan
As-Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki adalah salah seorang ulamak Islam
yang terutama desawarsa ini tanpa ragu lagi, ulamak yang paling
dihormati dan dicintai di kota suci Makkah.
Beliau merupakan keturunan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam,
penghulu Ahlil Bait, Imam Hadis di zaman kita, pemimpin keempat-empat
mazhab, ketua rohani yang paling berkaliber, pendakwah ke jalan Allah,
seorang yang tidak goyah dengan pegangannya di dunia ilmiah Islam
turath.
Menzirahi beliau merupakan suatu kemestian kepada para ulamak yang
menziarahi Makkah.
Keluarga
Keturunan Sayyid merupakan keturunan mulia yang bersambung secara
langsung dengan Junjungan kita Muhammad Sallahu 'Alaihi Wasallam
sendiri. Beliau merupakan waris keluarga Al-Maliki Al-Hasani di Makkah
yang masyhur yang merupakan keturunan Rasulullah Sallahu 'Alaihi
Wasallam, melalui cucu Baginda, Imam Al-Hasan bin Ali, Radhiyallahu
'Anhum.
Keluarga Maliki merupakan salah satu keluarga yang paling dihormati di
Makkah dan telah melahirkan alim ulamak besar di Makkah, yang telah
mengajar di Makkah berkurun lama.
Lima orang dari keturunan Sayyid Muhammad, telah menjadi Imam Mazhab
Maliki di Haram Makkah. Datuk beliau, Al-Sayyid Abbas Al-Maliki,
merupakan Mufti dan Qadhi Makkah dan khatib di Masjidil Haram. Beliau
memegang jawatan ini ketika pemerintahan Uthmaniah serta Hashimiah, dan
seterusnya terus memegang jawatan tersebut setelah Kerajaan Saudi
diasaskan. Raja Abdul Aziz bin Sa'ud sangat menghormati beliau. Riwayat
lanjut beliau boleh dirujuk pada kitab Nur An-Nibras fi Asanid Al-Jadd
As-Sayyid Abbas oleh cucunya As-Sayyid Muhammad Al-Maliki.
Bapa beliau pula, As-Sayyid Alawi Al-Maliki merupakan salah seorang
ulamak Makkah terunggul di abad yang lalu. Beliau telah mengajar
pelbagai ilmu Islam turath di Masjidil Haram selama hampir 40 tahun.
Ratusan murid dari seluruh pelusuk dunia telah mengambil faedah daripada
beliau dari kuliah beliau di Masjidil Haram, dan ramai di kalangan
mereka telah memegang jawatan penting agama di negara masing-masing.
Malah, Raja Faisal tidak akan membuat apa-apa keputusan berkaitan Makkah
melainkan setelah meminta nasihat daripada As-Sayyid Alawi. Beliau telah
meninggal dunia pada tahun 1971 dan upacara pengebumiannya merupakan
yang terbesar di Makkah sejak seratus tahun. Dalam tempoh 3 hari
daripada kematian beliau, Stesyen Radio Saudi tempatan hanya menyiarkan
bacaan Al-Quran, sesuatu yang tidak pernah dilakukan kecuali hanya untuk
beliau.
Maklumat lanjut tentang As-Sayyid Alawi boleh dirujuk kepada biografinya
berjudul Safahat Musyriqah min Hayat Al-Imam As-Sayyid As-Syarif Alawi
bin Abbas Al-Maliki oleh anaknya, yang juga merupakan adik kepada
As-Sayyid Muhammad, As-Sayyid Abbas Al-Maliki, juga seorang ulamak,
tetapi lebih dikenali dengan suara merdunya dan pembaca Qasidah yang
paling utama di Arab Saudi. Biografi ini mengandungi tulisan berknaan
As-Sayyid Alawi dari ulamak dari seluruh dunia Islam.
Keluarga Maliki juga telah melahirkan ramai lagi ulamak lain, tetapi
penulis hanya menyebut bapa dan datuk kepada As-Sayyid Muhammad. Untuk
maklumat lanjut, rujuk tulisan-tulisan berkaitan sejarah Makkah dan
ulamaknya di abad-abad mutakhir.
Kelahiran dan Pendidikan Awal
As-Sayyid Muhammad Al-Hasani bin Alawi bin Abbas bin Abdul Aziz,
dilahirkan pada tahun 1946, di kota suci Makkah, dalam keluarga
Al-Maliki Al-Hasani yang terkenal, keluarga Sayyid yang melahirkan
ulamak tradisi. Beliau amat beruntung kerana memiliki bapa seperti
As-Sayyid Alawi, seorang ulamak paling berilmu di Makkah. Bapa beliau
merupakan guru pertama dan utama beliau, mengajar beliau secara peribadi
di rumah dan juga di Masjidil Haram, di mana beliau menghafal Al-Quran
sejak kecil. Beliau belajar dengan bapa beliau dan diizinkan untuk
mengajar setiap kitab yang diajarkan oleh bapa beliau kepada beliau.
Pendidikan Lanjut
Dengan arahan bapanya, beliau juga turut mempelajari dan mendalami
pelbagai ilmu turath Islam: Aqidah, Tafsir, Hadith, Feqh, Usul,
Mustalah, Nahw dan lain-lain, di tangan ulamak-ulamak besar lain di
Makkah serta Madinah. Kesemua mereka telah memberikan ijazah penuh
kepada beliau untuk mengajar ilmu-ilmu ini kepada orang lain.
Ketika berumur 15 tahun lagi, As-Sayyid Muhammad telah mengajar
kitab-kitab Hadith dan Feqh di Masjidil Haram, kepada pelajar-pelajar
lain, dengan arahan guru-gurunya. Setelah mempelajari ilmu turath di
tanah kelahirannya Makkah, beliau dihantar oleh bapanya untuk menuntut
di Universiti Al-Azhar As-Syarif.
Beliau menerima ijazah PhD daripada Al-Azhar ketika berusia 25 tahun,
menjadikan beliau warga Arab Saudi yang pertama dan termuda menerima
ijazah PhD dari Al-Azhar. Tesis beliau berkenaan Hadith telah dianggap
cemerlang dan menerima pujian yang tinggi dari alim ulamak unggul di
Al-Azhar ketika itu, seperti Imam Abu Zahrah.
Perjalanan Mencari Ilmu
Perjalanan menuntut ilmu merupakan jalan kebanyakan ulamak. As-Sayid
Muhammad turut tidak ketinggalan. Beliau bermusafir sejak usia muda
untuk menuntut ilmu dari mereka yang memiliki ilmu. Beliau telah
bermusafir dengan banyak ke Afrika Utara, Mesir, Syria, Turki, dan
rantau Indo-Pak untuk belajar dari alim-ulamak yang hebat, bertemu para
Wali Allah, menziarahi masjid-masjid dan maqam-maqam, serta mengumpul
manuskrip-manuskrip dan kitab.
Di setiap tempat ini, beliau menemui para ulamak dan auliyak yang agung,
dan mengambil faedah daripada mereka. Mereka juga turut tertarik dengan
pelajar muda dari Makkah ini dan memberi perhatian istimewa untuk
beliau. Kebanyakan mereka telah pun sangat menghormati bapa beliau yang
alim, dan merupakan satu kebanggaan memiliki anak beliau sebagai murid.
Ijazah-ijazah
Sistem pengajian tradisi atau turath berasaskan kepada ijazah atau
'keizinan untuk menyampaikan ilmu'. Bukan semua orang boleh mengajar.
Hanya mereka yang memiliki ijazah yang diktiraf dari alim-ulamak yang
terkenal sahaja yang boleh mengajar. Setiap cabang pengetahuan dan
setiap kitab Hadith, Feqh, Tafsir dan lain-lain, mempunyai Sanad-sanad,
atau rantaian riwayat yang bersambung sehingga kepada penyusun kitab
tersebut sendiri melalui anak-anak muridnya dan seterusnya anak-anak
murid mereka. Banyak sanad-sanad yang penting, seperti sanad Al-Qur'an,
Hadith dan Tasawwuf, bersambung sehingga kepada Rasulullah Sallahu
Alaihi Wasallam.
Sayyid Muhammad mendapat penghormatan dengan menjadi< Shaykh dengan
bilangan ijazah terbanyak dalam waktunya. Beliau juga memiliki rantaian
sanad terpendek atau terdekat dengan datuknya, Nabi Muhammad Sallahu
Alaihi Wasallam.
Di Tanah Arab, tanah kelahirannya, dan dalam permusafiran ilmunya,
As-Sayyid Muhammad mendapat lebih dari 200 ijazah dari alim-ulamak
teragung di zamannya, di setiap cabang ilmu Islam. Ijazah beliau
sendiri, yang beliau berikan kepada murid-muridnya adalah antara yang
paling berharga dan jarang di dunia, menghubungkan anak-anak muridnya
dengan sejumlah besar para ulamak agung.
Para Masyaikh yang memberikan As-Sayyid Muhammad ijazah-ijazah mereka
merupakan ulamak besar dari seluruh dunia Islam. Kita menyebutkan
sebahagian mereka:
Dari Makkah:
1. Bapa beliau yang alim dan guru beliau yang pertama, As-Sayyid Alawi
bin Abbas al-Maliki
2. Shaykh Muhammad Yahya Aman al-Makki
3. Shaykh al-Sayyid Muhammad al-Arabi al-Tabbani
4. Shaykh Hasan Sa'id al-Yamani
5. Shaykh Hasan bin Muhammad al-Mashshat
6. Shaykh Muhammad Nur Sayf
7. Shaykh Muhammad Yasin al-Fadani
8. Al-Sayyid Muhammad Amin Kutbi
9. Al-Sayyid Ishaq bin Hashim 'Azuz
10. Habib Hasan bin Muhammad Fad'aq
11. Habib Abd-al-Qadir bin 'Aydarus al-Bar
12. Shaykh Khalil Abd-al-Qadir Taybah
13. Shaykh Abd-Allah al-Lahji
Dari Madinah:
1. Shaykh Hasan al-Sha'ir, Shaykh al-Qurra of Madinah
2. Shaykh Diya-al-Din Ahmad al-Qadiri
3. As-Sayyid Ahmad Yasin al-Khiyari
4. Shaykh Muhammad al-Mustafa al-Alawi al-Shinqiti
5. Shaykh Ibrahim al-Khatani al-Bukhari
6. Shaykh Abd-al-Ghafur al-Abbasi al-Naqshbandi
Dari Hadramawt dan Yaman:
1. Al-Habib Umar bin Ahmad bin Sumayt, Imam Besar Hadramawt
2. Shaykh As-Sayyid Muhammad Zabarah, Mufti Yaman
3. Shaykh As-Sayyid Ibrahim bin Aqeel al-Ba-Alawi, Mufti Ta'iz
4. Al-Imam al-Sayyid Ali bin Abd-al-Rahman al-Habshi
5. Al-Habib Alawi ibn Abd-Allah bin Shihab
6. As-Sayyid Hasan bin Abd-al-Bari al-Ahdal
7. Shaykh Fadhl bin Muhammad Ba-Fadhal
8. Al-Habib Abd-Allah bin Alawi al-Attas
9. Al-Habib Muhammad bin Salim bin Hafeez
10. Al-Habib Ahmad Mashhur al-Haddad
11. Al-Habib Abd-al-Qadir al-Saqqaf
Dari Syria:
1. Shaykh Abu-al-Yasar ibn Abidin, Mufti Syria
2. Shaykh As-Sayyid al-Sharif Muhammad al-Makki al-Kattani, Mufti
Maliki
3. Shaykh Muhammad As'ad al-Abaji, Mufti Shafi'i
4. Shaykh As-Sayyid Muhammad Salih al-Farfur
5. Shaykh Hasan Habannakah al-Maydani
6. Shaykh Abd-al-Aziz 'Uyun al-Sud al-Himsi
7. Shaykh Muhammad Sa'id al-Idlabi al-Rifa'i
Dari Mesir:
1. Shaykh As-Sayyid Muhammad al-Hafiz al-Tijani, Imam Hadith di Mesir
2. Shaykh Hasanayn Muhammad Makhluf, Mufti Mesir
3. Shaykh Salih al-Ja'fari, Imam Masjid Al-Azhar
4. Shaykh Amin Mahmud Khattab al-Subki
5. Shaykh Muhammad al-'Aquri
6. Shaykh Hasan al-'Adawi
7. Shaykh As-Sayyid Muhammad Abu-al-'Uyun al-Khalwati
8. Shaykh Dr. Abd-al-Halim Mahmud, Syeihkul Azhar
Dari Afrika Utara (Maghribi, Algeria, Libya dan Tunisia):
1. Shaykh As-Sayyid As-Sharif Abd-al-Kabir al-Saqali al-Mahi
2. Shaykh As-Sayyid Abd-Allah bin Al-Siddiq Al-Ghimari, Imam Hadith
3. Shaykh As-Sayyid Abd-al-Aziz bin Al-Siddiq al-Ghimari
4. As-Sharif Idris al-Sanusi, Raja Libya
5. Shaykh Muhammad At-Tahir ibn 'Ashur, Imam Zaytunah, Tunis
6. Shaykh al-Tayyib Al-Muhaji al-Jaza'iri
7. Shaykh Al-Faruqi Al-Rahhali Al-Marrakashi
8. Shaykh As-Sayyid As-Sharif Muhammad al-Muntasir al-Kattani
Dari Sudan:
1. Shaykh Yusuf Hamad An-Nil
2. Shaykh Muddassir Ibrahim
3. Shaykh Ibrahim Abu-an-Nur
4. Shaykh At-Tayyib Abu-Qinayah
Dari Rantau Indo-Pak:
1. Shaykh Abu-al-Wafa al-Afghani Al-Hanafi
2. Shaykh Abd-al-Mu'id Khan Hyderabadi
3. Al-Imam Al'Arif Billah Mustafa Rida Khan al-Barelawi, Mufti India
4. Mufti Muhammad Shafi' Al-Deobandi, Mufti Pakistan
5. Mawlana Muhammad Zakariyya Al-Kandahlawi, Imam Hadith
6. Mawlana Zafar Ahmad Thanawi
7. Shaykh Al-Muhaddith Habib-al-Rahman Al-'Azami
8. Sayyid Abu-al-Hasan Ali An-Nadawi
Senarai ini hanya merupakan ulamak masyhur yang Syaikh kita telah
mendapat ijazah darinya, dan di sana terdapat ramai lagi yang tidak
disebutkan. Pada As-sayyid Muhammad Alawi, seseorang akan mendapati
nilai terbaik dari para Masyaikh ini dalam pelabagai latarbelakang dan
pengkhususan.
Karier Mengajar
Kalimah karier sebenarnya mungkin tidak sesuai untuk digunakan untuk
menggambarkan aktiviti mengajar As-Sayyid Muhammad, kerana kalimah ini
amat hampir kaitannya dengan keuntungan material. Sementara beliau,
seperti mana Masyaikh tradisi yang lain, juga seperti keturunannya
sebelum beliau, mengajar hanya kerana Allah dan tidak mengharapkan
keuntungan material langsung.
Malahan, beliau menempatkan sejumlah besar pelajar di rumahnya sendiri,
menyediakan untuk mereka makan minum, penginapan, pakaian, kitab-kitab
serta segala keperluan mereka. Sebagai balasan, mereka hanya diminta
mengikuti peraturan dan etika penuntut ilmu agama yang suci.
Pelajar-pelajar ini biasanya menetap bersama beliau bertahun-tahun
lamanya, mempelajari pelbagai cabang ilmu Islam, dan seterusnya kembali
ke negeri masing-masing. Ratusan dari para pelajar telah menuntut di
kaki beliau dan telah menjadi pelopor pengetahuan Islam dan kerohanian
di negara mereka, terutamanya di Indonesia, Malaysia, Mesir, Yaman dan
Dubai.
Bagaimanapun apabila pulang dari Al-Azhar, beliau dilantik sebagai
Profesor Pengajian Islam di Universiti Ummul Qura di Makkah, yang mana
beliau telah mengajar sejak tahun 1970.
Pada tahun 1971, sebaik bapanya meninggal dunia, para ulamak Makkah
meminta beliau untuk menggantikan tempat bapanya sebagai guru di
Masjidil Haram. Beliau menerimanya, lantas menduduki kedudukan yang
telah diduduki oleh keluarganya lebih dari seabad. Beliau juga kadang
kala mengajar di Masjid Nabi di Madinah. Kuliah pengajian beliau
merupakan kuliah yang paling ramai dihadiri di kedua-dua Tanah Haram.
Bagaimanapun pada awal tahun 80-an, beliau telah mengosongkan kedudukan
mengajarnya di Universiti Ummul Qura juga kerusi warisannya di Masjidil
Haram, memandangkan fatwa dari sebahgian ulamak fanatik fahaman Wahhabi,
yang menganggap kewujudannya sebagai ancaman kepada ideologi dan
kekuasaan mereka.
Sejak itu, beliau mengajar kitab-kitab agung Hadith, Fiqh, Tafsir dan
tasawwuf di rumah dan masjidnya di Jalan Al-Maliki di Daerah Rusayfah,
Makkah. Kuliah-kuliah umumnya antara waktu Maghrib dan Isyak dihadiri
tidak kurang daripada 500 orang setiap hari. Ramai pelajarnya daripada
Universiti menghadiri pengajiannya di waktu malam. Sehingga malam
sebelum beliau meninggal dunia, majlisnya dipenuhi penuntut.
Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki amat dihormati oleh Kerajaan Arab Saudi
dan selalu diminta nasihat dari Raja sendiri dalam urusan-urusan yang
penting. Beliau juga dilantik sebagai ketua juri dalam Musabaqah Qur'an
antarabangsa di Makkah selama tiga tahun berturut-turut.
Tulisan Beliau
Sayyid Muhammad merupakan seorang penulis prolifik dan telah
menghasilkan hampir seratus buah kitab. Beliau telah menulis dalam
pelbagai topik agama, undang-undang, social serta sejarah, dan
kebanyakan bukunya dianggap sebagai rujukan utama dan perintis kepada
topik yang dibicarakan dan dicadangkan sebagai buku teks di
Institusi-institusi Islam di seluruh dunia.
Kita sebutkan sebahagian hasilnya dalam pelbagai bidang:
Aqidah:
1. Mafahim Yajib an Tusahhah
2. Manhaj As-salaf fi Fahm An-Nusus
3. At-Tahzir min at-Takfir
4. Huwa Allah
5. Qul Hazihi Sabeeli
6. Sharh 'Aqidat al-'Awam
Tafsir:
1. Zubdat al-Itqan fi 'Ulum al-Qur'an
2. Wa Huwa bi al-Ufuq al-'A'la
3. Al-Qawa'id al-Asasiyyah fi 'Ulum al-Quran
4. Hawl Khasa'is al-Quran
Hadith:
1. Al-Manhal al-Latif fi Usul al-Hadith al-Sharif
2. Al-Qawa'id al-Asasiyyah fi 'Ilm Mustalah al-Hadith
3. Fadl al-Muwatta wa Inayat al-Ummah al-Islamiyyah bihi
4. Anwar al-Masalik fi al-Muqaranah bayn Riwayat al-Muwatta lil-Imam
Malik
Sirah:
1. Muhammad (Sallallahu Alaihi Wasallam) al-Insan al-Kamil
2. Tarikh al-Hawadith wa al-Ahwal al-Nabawiyyah
3. 'Urf al-Ta'rif bi al-Mawlid al-Sharif
4. Al-Anwar al-Bahiyyah fi Isra wa M'iraj Khayr al-Bariyyah
5. Al-Zakha'ir al-Muhammadiyyah
6. Zikriyat wa Munasabat
7. Al-Bushra fi Manaqib al-Sayyidah Khadijah al-Kubra
Usul:
1. Al-Qawa'id al-Asasiyyah fi Usul al-Fiqh
2. Sharh Manzumat al-Waraqat fi Usul al-Fiqh
3. Mafhum al-Tatawwur wa al-Tajdid fi al-Shari'ah al-Islamiyyah
Fiqh:
1. Al-Risalah al-Islamiyyah Kamaluha wa Khuluduha wa 'Alamiyyatuha
2. Labbayk Allahumma Labbayk
3. Al-Ziyarah al-Nabawiyyah bayn al-Shar'iyyah wa al-Bid'iyyah
4. Shifa' al-Fu'ad bi Ziyarat Khayr al-'Ibad
5. Hawl al-Ihtifal bi Zikra al-Mawlid al-Nabawi al-Sharif
6. Al-Madh al-Nabawi bayn al-Ghuluww wa al-Ijhaf
Tasawwuf:
1. Shawariq al-Anwar min Ad'iyat al-Sadah al-Akhyar
2. Abwab al-Faraj
3. Al-Mukhtar min Kalam al-Akhyar
4. Al-Husun al-Mani'ah
5. Mukhtasar Shawariq al-Anwar
Lain-lain:
1. Fi Rihab al-Bayt al-Haram (Sejarah Makkah)
2. Al-Mustashriqun Bayn al-Insaf wa al-'Asabiyyah (Kajian Berkaitan
Orientalis)
3. Nazrat al-Islam ila al-Riyadah (Sukan dalam Islam)
4. Al-Qudwah al-Hasanah fi Manhaj al-Da'wah ila Allah (Teknik Dawah)
5. Ma La 'Aynun Ra'at (Butiran Syurga)
6. Nizam al-Usrah fi al-Islam (Peraturan Keluarga Islam)
7. Al-Muslimun Bayn al-Waqi' wa al-Tajribah (Muslimun, Antara Realiti
dan Pengalaman)
8. Kashf al-Ghumma (Ganjaran Membantu Muslimin)
9. Al-Dawah al-Islahiyyah (Dakwah Pembaharuan)
10. Fi Sabil al-Huda wa al-Rashad (Koleksi Ucapan)
11. Sharaf al-Ummah al-Islamiyyah (Kemulian Ummah Islamiyyah)
12. Usul al-Tarbiyah al-Nabawiyyah (Metodologi Pendidikan Nabawi)
13. Nur al-Nibras fi Asanid al-Jadd al-Sayyid Abbas (Kumpulan Ijazah
Datuk beliau, As-Sayyid Abbas)
14. Al-'Uqud al-Lu'luiyyah fi al-Asanid al-Alawiyyah (Kumpulan Ijazah
Bapa beliau, As-Sayyid Alawi)
15. Al-Tali' al-Sa'id al-Muntakhab min al-Musalsalat wa al-Asanid
(Kumpulan Ijazah)
16. Al-'Iqd al-Farid al-Mukhtasar min al-Athbah wa al-Asanid (Kumpulan
Ijazah)
Senarai di atas merupakan antara kitab As-Sayyid Muhammad yang telah
dihasilkan dan diterbitkan. Terdapat banyak lagi kitab yang tidak
disebutkan dan juga yang belum dicetak.
Kita juga tidak menyebutkan banyak penghasilan turath yang telah dikaji,
dan diterbitkan buat pertama kali, dengan nota kaki dan komentar dari
As-Sayyid Muhammad. Secara keseluruhannya, sumbangan As-Sayyid Muhammad
amat agung.
Banyak hasil kerja As-Sayyid Muhammad telah diterjemahkan ke pelbagai
bahasa.
Aktiviti lain
As-Sayyid Muhammad merupakan seorang pembimbing kepada ajaran dan
kerohanian Islam yang sebenar dan telah bermusafir ke serata Asia,
Afrika, Eropah dan Amerika, menyeru manusia ke arah kalimah Allah dan
Rasul terakhir-Nya Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam.
Di Asia Tenggara khasnya, As-Sayyid Muhammad secara peribadi telah
mengasaskan dan membiayai lebih 70 buah Sekolah Islam untuk melawan
aktiviti dakyah Kristian. Sejumlah besar penganut Kristian dan Budha
telah memeluk Islam di tangannya hanya setelah melihat Nur Muhammad yang
bersinar di wajahnya.
Ke mana sahaja beliau pergi, para pemimpin, ulamak dan masyarakat di
tempat tersebut akan menyambutnya dengan penuh meriah. Beliau seringkali
memberi ceramah kepada ratusan ribu manusia.
Beliau amat disayangi dan dicintai oleh Muslimin di seluruh dunia, bukan
sahaja kerana beliau keturunan Rasulullah, tetapi juga kerana ilmunya
yang luas, hikmahnya, akhlak serta watak rohaninya. Beliau juga amat
terkenal amat pemurah dengan ilmu, kekayaan dan masanya.
Pendekatan
As-Sayyid Muhammad mengikuti dan menyelusuri tradisi arus utama dan
majoriti Islam, jalan Ahlu Sunnah Waljamaah, jalan toleransi dan
sederhana, pengetahuan dan kerohanian, serta kesatuan dalam
kepelbagaian.
Beliau percaya kepada prinsip berpegang dengan empat mazhab yang
masyhur, tetapi tanpa fanatik. Beliau mengajar rasa hormat kepada ulamak
dan Awliyak agung yang lepas.
Beliau menentang sikap sewenang-wenangnya mengatakan Muslim lain sebagai
Kafir dan Musyrik, yang telah menjadi tanda dan sifat utama sebahagian
fahaman hari ini.
Beliau amat menentang dan kritis terhadap mereka yang digelar reformis
(Islah) abad ke-20 yang dengan mudah ingin menghapuskan Islam generasi
terdahulu menggunakan nama Islam yang suci.
Beliau juga memahami bahawa mencela kesemua Ash'ari, atau kesemua
Hanafi, Syafi'e dan Maliki, kesemua sufi, seperti mana yang dilakukan
oleh sebahagian fahaman hari ini adalah sama dengan mencela keseluruhan
Ummah Islam ribuan tahun yang lampau. Ia hanya merupakan sifat dan
pendekatan musuh Islam, dan bukannya rakan.
Sayyid Muhammad juga amat mempercayai bahawa ulamak -ulamak Mazhab yang
agung - mengikuti Sunni-Sufi - sejak beratus tahun yang lalu, adalah
penghubung kita kepada Al-Quran dan Assunnah, dan bukanlah penghalang
antara keduanya dengan kita, seperti yang dipercayai sesetengah pihak.
Kefahaman yang benar berkenaan Al-Quran dan Sunnah ialah kefahaman yang
berasaskan tafsiran para ulamak agung Islam, dan bukan dengan sangkaan
para ekstrimis zaman moden ini yang tidak berfikir dua kali sebelum
mencela majoriti Muslim di seluruh dunia. Sayyid Muhammad juga
berpendapat majoriti ummah ini adalah baik. Kumpulan-kumpulan minoriti
yang fanatiklah yang perlu mengkaji semula fahaman ekstrim mereka.
Sayyid Muhammad merupakan pendukung sebenar Sufi yang berasaskan
Syariah, Sufi para Awliya' agung dan solehin ummah ini. Beliau sendiri
merupakan mahaguru kerohanian di tingkat yang tertinggi, berhubungan
dengan kebanyakan peraturan kerohanian Islam, melalui para Masyaikh
Tariqah yang agung.
Beliau turut mempercayai bahawa membaca Zikir, samaada secara
bersendirian atau berkumpulan, adalah bahagian penting dalam kerohanian
seseorang. Semua pelajarnya dimestikan bertahajjud dan membaca wirid
pagi dan petang.
Sayyid Muhammad juga beranggapan, ummat Islam perlu menggunakan segala
hasil yang ada untuk meningkatkan taraf ummah mereka dari sudut
kerohanian, masyarakat dan juga material, dan tidak membuang masa yang
berharga dengan berbalah pada perkara-perkara kecil. Beliau percaya
Muslim tidak seharusnya mencela satu sama lain dalam perkara yang telah
diselisihkan oleh para ulamak. Mereka sebaliknya perlu berganding bahu
bersama untuk memerangi apa yang telah disepekati sebagai kejahatan dan
dosa.
Pandangan dan pendirian Sayyid Muhammad ini digambarkan dalam tulisannya
yang terkenal, Mafahim Yajib An Tusahhah (Kefahaman Yang Perlu
Diperbetulkan), sebuah buku yang mendapat penghargaan meluas di seluruh
dunia Islam dan diiktiraf tinggi di lingkaran para ulamak.
Penutup
Tidak diragui lagi, kehadiran Sayyid Muhammad Alawi merupakan rahmat
buat ummah ini. Beliau merupakan waris kepada kekasih kita Nabi Muhammad
Sallahu Alaihi Wasallam dari sudut darah daging serta kerohanian.
Masyarakat Makkah dan Madinah teramat mencintai beliau seperti mana
dilihat pada solat jenazah beliau.
Siapa sahaja yang pernah menemui beliau jatuh cinta dengan beliau.
Rumahnya di kota suci Makkah sentiasa terbuka sepanjang tahun untuk
ulamak dan para penuntut yang menziarahi, ribuan orang yang menuju
kepadanya. Beliau juga tidak kenal erti takut dalam berkata yang benar
dan telah mengalami detik-detik kepayahan kerana kebenaran.
Walaubagaimanapun pertolongan Allah kelihatan sentiasa bersama
dengannya. RadhiyAllahu Anhu WaArdhaah. Ameen.
Maklumat lanjut kehidupan dan pencapaiannya boleh dirujuk biografinya
yang hebat bertajuk, Al-Maliki 'Alim Hijjaz, karangan penulis dan
sejarahwan terkenal Makkah, Dr Zuhayr Kutbi.
Pemergiannya
Beliau telah meninggalkan kita pada hari Jumaat, 15 Ramadhan
(bersesuaian dengan doanya untuk meninggal dunia pada bulan Ramadhan),
dalam keadaan berpuasa di rumahnya di Makkah. Kematiannya amat
mengejutkan.
Benar.. Ia adalah satu kehilangan yang besar.. Ucapan takziah diucapkan
dari seluruh dunia Islam. Solat janazah beliau dilakukan di seluruh
pelusuk dunia.
Beliau telah pergi pada bulan Ramadhan dan pada hari Jumaat.
Saya adalah antara yang menunaikan solat jenazah (pertama di rumah
beliau diimamkan oleh adiknya As-Sayyid Abbas, dan seterusnya di
Masjidil Haram dengan Imam Subayl)... Ratusan ribu manusia membanjiri
upacara pengebumiannya. Semua orang menangis dan sangat bersedih... Ia
merupakan satu situasi yang tidak dapat dilupakan... Allahu Akbar...
Betapa hebatnya beliau... betapa besarnya kehilangan ini... Betapa
ramainya yang menyembahyangkannya... Saya tahu mata saya tidak pernah
menyaksikan seorang spertinya... Seorang yang amat dicintai oleh
masyarakat seperti beliau... seorang ulamak yang berkaliber dan
berpengetahuan serta berhikmah...
Terdapat sekurang-kurangnya 500 orang tentera diperintah oleh kerajaan
Arab Saudi di perkuburan Ma'ala untuk mengawal ribuan orang yang
menangisinya. Kerabat diraja juga turut hadir. Para manusia menempikkan
Kalimah dengan kuat sepanjang uapcara pengebumian beliau, memenuhi
Makkah dari Masjidil Haram sehingga ke tanah perkuburan.
Beliau disemadikan di sebelah bapanya, berhampiran maqam nendanya
Sayyidah Khadijah. Sebelum beliau meninggal dunia, beliau ada
menghubungi seorang pelajar lamanya di Indonesia melalui telefon dan
bertanyanya adakah dia akan datang ke Makkah pada bulan Ramadhan.
Apabila dia menjawab tidak, Sayyid Muhammad bertanya pula, "tidakkah
engkau mahu menghadiri pengebumianku?"
Tepat sekali, beliau pergi pada bulan Ramadhan di pagi Jumaat... apakah
lagi bukti yang diperlukan menunjukkan penerimaan Allah?! Makkah
menangisi pemergiannya... Seluruh dunia Islam menangisi kehilangannya.
Moga Allah menganugerahkan beliau tempat yang tertinggi di Jannah,
bersama-sama kekasihnya dan datuknya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam.
Ameen.
Selesai diterjemah pada:
1.20 Petang, 26 Ramadhan 1425H di Haiyyu Sabiek, Kaherah.
Wallahu A'lam. Wassollahu Ala Saiyidina Rasulillah WaAla Alihi Wasohbihi
Waman Walah, Walhamdulillahi Rabbil 'Alamin.
--- End forwarded message ---