Selasa, 26 Februari 2008

Chak de! India

semangat patriotisme

‘Chak de! India’ menyemarakkan semangat patriotisme 07-08-2007 09:03:46 PM Oleh ZIEMAN

srk1.jpg

PELAKON Bollywood terkenal Shahrukh Khan sekali lagi akan menggegarkan panggung dengan filem terbarunya Chak de! India yang memulakan tayangan di seluruh dunia pada hari Jumaat, 10 Ogos ini.

Kebetulan pula filem ini akan menemui para peminat filem Bollywood di saat negara India akan meraikan hari kemerdekaannya yang ke 60 pada 15 Ogos ini.
Filem Chak de! India dibuat berdasarkan cerita sebenar seorang penjaga gol hoki India yang terkenal bernama Ranjan Negi.
Namun dalam filem ini kisahnya berkisar tentang seorang bekas kapten pasukan hoki India bernama Kabir Khan (watak utama yang dipegang oleh Shahrukh Khan) yang ditugaskan menjadi jurulatih pasukan hoki kebangsaan wanita yang terdiri dari sekumpulan anak-anak gadis yang mempunyai agenda tersendiri mengapa mereka ingin bermain dalam pasukan hoki mewakili negara mereka.
Kesemua anggota pasukan hoki ini terlupa keseronokan bermain hoki untuk meraih kemenangan bagi negara tercinta dan bukan sekadar mengharapkan sebuah gelaran, tawaran atau hadiah lumayan.
srk4-team.jpg
Pasukan hoki wanita India di dalam filem yang membakar semangat juang

(Foto-foto ihsan YRF Internet Cell)

Mereka juga terlalu taksub dengan permainan hoki yang menjanjikan kesenangan dan kemegahan sehingga meminggirkan perasaan dan semangat patriotik apabila dipilih untuk mewakili negara. Setiap tahun, pemain hoki wanita ini akan bertungkus lumus bermain semata-mata untuk mendapat tempat mewakili negara.
Namun semua itu berubah apabila bekas pemain hoki negara dan kini jurulatih hoki bernama Kabir Khan mengambil alih pasukan hoki wanita itu.
Di bawah jurulatih Kabir, kesemua ahli pasukan terpaksa melupakan sebentar tentang perbezaan latar belakang masing-masing dan bersatu untuk menjadi pasukan hoki India nombor satu.
srk-coach.jpg
Kabir membuktikan kebolehannya menjadi seorang jurulatih
Kabir pula mempunyai kisah sedih di mana dia diketepikan oleh pasukannya ketika di zaman kegemilangannya dulu dan peluang yang dia dapat kini adalah untuk membuktikan ketokohannya untuk memimpin sebuah pasukan hoki.
Kabir juga terpaksa berdepan dengan masalah seorang budak Punjabi bernama Vidya Malvade (Vidya Sharma) yang ingin bermain hoki tetapi terpaksa melupakan hajatnya kerana bantahan keluarga.
Kini Kabir terpaksa menyiapkan 16 orang pemain hoki ini untuk satu mewakili negara untuk merebut World Cup di Australia.
srk4.jpg
Kabir mengatur strategi permainan
Perlawanan hoki kini bukan sekadar untuk menang dan meraih kemegahan sahaja tetapi Kabir cuba mengajar mereka bagaimana bersatu dengan cara tulus, penuh integriti dan kredibiliti. Hanya satu cara sahaja yang dapat menyatukan 16 orang pemain hoki wanita ini dan hanya Kabir saja yang tahu.
Filem yang diterbitkan oleh Yash Chopra dan diarahkan oleh Shimit Amin ini dijangka akan mendapat tempat di hati peminat setia Shahrukh Khan yang sering digelar ‘King Khan.’
Jalan cerita yang menarik dan tidak menggunakan nama besar Bollywood selain Shahrukh Khan seorang sahaja pasti akan membuat ramai tertarik untuk menonton filem ini.

srk5.jpgsrk7.jpgsrk8.jpg

Wajah-wajah Shahrukh Khan di dalam filem Chak de! India
Selain keunikan filem yang menyelitkan unsur patriotik, Chak de! India pasti akan membakar semangat patriotik dan cintakan tanah air walaupun kita bukan rakyat India. Semangat patriotik ini akan meresap ke dalam jiwa kita meskipun berlainan negara, tambahan pula suasana ini sangat bertepatan sekali dengan suasana Merdeka yang akan kita raikan tidak lama lagi.
Selain dari Shahrukh Khan, pendokong watak lain dalam filem ini terdiri dari muka-muka baru seperti Vidya Malvade, Anjan Srivastava, Javed Khan, Vibha Chibbar, Nakul Vaid, Sagarika Ghatge, Chitrashi Rawat, Tanya Abrol and Nisha Nair.
Sementara pengarah muziknya pula terdiri dari Salim Merchant dan Sulaiman Merchant manakala penyanyi latarnya terdiri dari Shahrukh Khan sendiri, Salim Merchant, Marianne D’Cruz, Hema Sardesi, KK, Krishna, Midival Punditz dan penulis lirik pula ialah Jaideep Sahni.
srk3.jpg
Shahrukh Khan tidak melakonkan watak playboy di dalam filem ini
Tentang pemilihan kesemua 16 pelakon hoki wanita yang terdiri dari pemain-pemain hoki India, Shimit berkata “ianya perlu untuk memberi gambaran sebenar permainan hoki. Ianya nampak lebih meyakinkan apabila pemain hoki itu adalah terlatih dan profesional. “ Kesemua 16 pelakon hoki wanita itu telah diberi latihan intensif oleh pemain hoki India terkenal iaitu Dhanraj Pillay. Begitu juga dengan pemilihan Shahrukh sebagai jurulatih hoki yang bernama Kabir Khan.
srk9.jpg
Pasukan hoki wanita India yang mengharumkan nama negara mereka
“Latar belakang Shahrukh yang sememangnya pemain hoki di peringkat kebangsaan dan keadaan fiziknya sebagai seorang atlet membuat Shahrukh pelakon yang tepat untuk mendukung watak itu,” kata Shimit lagi.
Walaupun sebelum ini ada ura-ura yang mengatakan watak Kabir itu dikhaskan untuk pelakon Salman Khan, ternyata ia cuma khabar angin.
Skrip asal filem ini lahir dari Jaideep Sahni dan kemudiannya telah dijual kepada Aditya Chopra.
Terdapat juga desas-desus yang mengatakan pengarah Shimit ‘tidak sebulu’ dengan Shahrukh sehingga pelakon No 1 Bollywood meninggalkan set penggambaran.
srk10.jpg
Kabir tegas di dalam tugasnya membentuk pasukan yang terbaik di dunia
Kesahihan khabar angin ini hampir tiada kepastian. Namun hakikatnya, Shimit yang pernah mengarah filem ‘Ab Tak Chhappan’ ini tetap mengakui kehebatan Shahrukh yang tidak boleh diperkotak-katikkan .
“Perwatakannya hampir sama dengan pelakon hebat ‘berkarektor’ Nana Patekar yang tahu apa yang dia mahukan.
“Karisma yang ada pada Shahrukh mahupun Nana membuat ramai orang terkunci mulut apabila berdepan dengan mereka.
“Shahrukh yakin dengan apa yang dia lakukan termasuklah apa saja watak yang diberikan kepadanya. Dan itulah kehebatan Shahrukh Khan.”